My Blog List

Saturday, March 20, 2010

Taat kepada pemimpin


Apakah ciri-ciri pemimpin yang ditaati? Mungkin persoalan ini yang sering berlegar di fikiran setiap umat Islam yang umumnya berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah wal-Jamaah. Maka pelbagai tafsiran akan diberikan terutama daripada pemimpin parti politik.

Persoalan ini juga akan digunakan sepenuhnya untuk dijadikan propaganda bagi menarik perhatian rakyat menyokong mereka dengan memberikan gambaran mengelirukan tanpa memikirkan kesan buruk yang semakin menimpa umat Islam.

Selepas 52 tahun negara merdeka, kesannya amat jelas iaitu perpecahan di kalangan umat Islam sehingga hilang suara majoriti dan terpaksa tunduk kepada tuntutan orang lain selepas pilihan raya umum lalu. Ini semua disebabkan kita terlupa kepada al-Quran dan sunah Rasulullah SAW, apabila meletakkan kepentingan dan cita-cita politik di tempat yang lebih tinggi.

Pendirian dan sikap Ahli Sunnah wal-Jamaah yang sebenar menyatakan wajibnya taat kepada pemimpin, penguasa dan mereka yang menguruskan urusan kaum Muslimin. Haram mengkhianati mereka terutamanya dalam urusan zakat, jihad, memerangi kesesatan dan kekufuran. Wajib bersolat di belakang mereka dan dibelakang orang-orang yang menjadi wakilnya di masjid-masjid yang telah disediakan oleh penguasa Islam. Amat keji perbuatan mereka yang menjadi pengacau, seperti menghasut rakyat untuk mengkhianati pemerintah dalam hal-hal yang telah disebutkan di atas.

Rasulullah bersabda, "Akan berlaku selepas peninggalanku nanti para pemimpin yang tidak mengikut petunjukku, tidak mengikut sunahku dengan panduan sunahku. Akan muncul pula di kalangan kamu orang-orang yang hatinya adalah hati syaitan (fasik). Aku (Huzaifah) bertanya: Apakah harus aku lakukan jika aku menemuinya? Baginda bersabda: Hendaklah kamu mendengar dan taat kepada pemimpin walaupun dia memukul punggungmu dan merampas harta-bendamu". (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menunjukkan kepada kita pemimpin negara ini perlu ditaati walau apa sekali pun malah sejak merdeka sehingga hari ini, Islam dan ummah dapat berkembang dengan pesat dan wujud dasar-dasar yang berteraskan Islam walaupun tidak sepenuhnya kerana kita harus memahami negara ini bukannya milik umat Islam sahaja, sebahagian kecil daripadanya adalah milik penganut agama lain.

Justeru itu, apa yang dilakukan oleh pemerintah sekarang amat jelas dan semua pihak perlu memahami hukum hudud dan takzir tidak dapat dilaksanakan kerana kerajaan berada dalam keadaan 'darurat' disebabkan perkongsian milik negara ini dengan orang lain.

Saya berpendapat wujudnya perpecahan di kalangan umat Islam adalah disebabkan kumpulan-kumpulan kecil yang cuba menonjolkan diri bahawa merekalah yang lebih benar, lebih mulia dalam memperjuangkan Islam yang suci sehingga memusuhi pemimpin seagama dan sanggup berkawan dengan musuh-musuh Islam yang nyata dan jelas.

Perkembangan mutakhir ini amat menyedihkan dan membimbangkan. Umat Islam berpecah kerana kelompok-kelompok ini cuba menegakkan sesuatu yang bertentangan dengan Ahli Sunnah wal-Jamaah sehingga meninggalkan perpaduan sesama Islam. Saya sama sekali tidak dapat menerima perpecahan ini dan saya menganjurkan perpaduan sesama saudara seagama kita.

Selama ini orang pondok seperti saya berdiam diri tetapi hari ini saya perlu bangun untuk menyatakan kebenaran ini kerana umat Islam diancam dengan pelbagai masalah. Biarpun saya akan dikecam kerana tidak selari dengan pemimpin parti yang kononnya memperjuangkan Islam, pemimpin yang dilihat semakin suci dan tidak lagi boleh dipersoalkan.

Perlembagaan negara telah memberikan kedudukan istimewa kepada agama Islam dan ia harus dijaga dan tidak boleh membiarkan sama sekali orang lain mengganggu gugatnya. Namun dengarlah kata-kata para pemimpin parti politik tertentu untuk menjaga kepentingan pengaruh daripada bukan Islam.

Berpegang

Penentangan saya terhadap kelompok ini bermula sejak tahun 1987 apabila seorang pemimpinnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan sifat 20 Allah SWT direka oleh Greek dan Yunani. Bagaimanapun saya mendiamkan diri kerana berpegang kepada dasar parti itu yang kononnya memperjuangkan Islam.

Kami golongan pondok sebenarnya dibuai oleh Pas sejak negara mencapai kemerdekaan, Mereka menyebarkan dakyah kononnya UMNO sengaja tidak melaksanakan hukum Islam walaupun telah diberikan kebebasan 100 peratus oleh British.

Namun selepas berkali-kali melihat dan mendengar kenyataan yang dibuat oleh Nik Abdul Aziz biar yang bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah wal-Jamaah biar pun telah ditegur, ia mula membuka mata saya. Kami ahli Persatuan Pondok seMalaysia beberapa kali telah menasihati beliau tetapi tidak diendahkan. Baginya apa yang penting pembaharuan dalam agama perlu diteruskan walaupun umat Islam berpecah.

Saya mengkaji semula perlembagaan negara dan saya menemui bahawa kemerdekaan itu bukannya hak mutlak orang Melayu Islam tetapi sebahagian kecil tanah air ini mungkin 20 peratus telah ditinggalkan untuk penganut agama lain.

Selepas itu, saya menyedari bahawa UMNO yang memerintah melalui gagasan Barisan Nasional (BN) berada dalam keadaan 'darurat' yang mana sebahagiannya terpaksa dikongsi bersama dengan orang bukan Islam maka tidak wajib bagi kerajaan untuk melaksanakan hukum hudud dan takzir sepenuhnya.

Gagasan Malaysian Malaysia atau pun Malaysia Sederhana yang menyamaratakan hak semua kaum dan agama tidak boleh diterima sama sekali demi menjaga kesucian agama Islam dan hak-hak orang Melayu sebagai kaum pribumi.

Saya sedar apabila saya bercakap mengenai perkara ini, penyokong-penyokong Pas dan pakatan pembangkang akan menuduh saya sebagai 'ejen UMNO'. Saya tidak kisah demi agama, bangsa dan negara. Mungkin saya akan menyertai UMNO dalam tempoh dua tiga tahun lagi tetapi buat masa sekarang saya masih ahli Pas yang mahukan perpaduan di antara umat Islam, UMNO dan Pas.

Sekiranya UMNO meneruskan perjuangannya untuk umat Melayu dan Islam seperti mana yang kita nikmati selama ini dan bertambah baik pada setiap tahun, tidak mustahil untuk saya menyertai UMNO.

Untuk pengetahuan umum, institusi pondok di Kelantan telah lama menentang ajaran-ajaran Nik Abdul Aziz tetapi tidak ada siapa yang berani bersuara dengan lantang seperti saya kerana telah termakan budi dan bimbang tidak akan menerima lagi bantuan seperti mana yang dinikmati hari ini. Selepas penentangan secara terbuka terhadap Nik Abdul Aziz, pelbagai sekatan saya terpaksa lalui. Sebagai contoh ada antara masjid di negeri tidak membenarkan lagi saya menyampaikan kuliah malah sesiapa yang menghadiri kuliah saya tidak akan menerima bantuan seperti biasa.

Sekatan-sekatan itu tidak berkudis pun kepada saya. Pondok Geting semakin padat, menerima murid lebih ramai dari dahulu. Saya amat yakin dengan perjuangan ini kerana jelas pakatan pembangkang yang disertai Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP akan hanya menghancurkan umat Islam. Lihat saja apa yang berlaku di Pulau Pinang dan Perak ketika di bawah kerajaan boneka DAP.

Perkembangan pada masa sekarang menunjukkan DAP yang menjadi tuan kepada pakatan pembangkang. Datuk Seri Anwar Ibrahim pasti mengikut telunjuk DAP semata-mata untuk mencapai cita-cita menjadi Perdana Menteri manakala Pas mengikut membabi buta, sehingga Nik Abdul Aziz dan Lim Guan Eng tidak jauh bezanya.

Perlu diingat golongan pondok bukannya jumud dan tertutup seperti mana yang digambarkan. Kami di sini mengikuti perkembangan politik negara secara dekat, cuma tidak bersuara. Saya sendiri membaca sekurang-kurangnya dua akhbar sehari malah kadang kala tujuh akhbar termasuk tabloid parti pembangkang.

Saya merujuk semua perkembangan ini dengan kitab-kitab ulung Islam mengenai politik seperti tulisan Imam Nawawi, Sheikh Ibnu Hajar dan Imam Hambali yang jelas menunjukkan apa yang dilakukan oleh UMNO tidak bertentangan Islam.

Ketika suara saya mula disiarkan di Utusan Malaysia akhir tahun lalu, Persatuan Pondok Berhad telah mengeluarkan kenyataan bahawa saya tidak mewakili mereka malah tidak mempunyai tauliah untuk berceramah agama. Itu semua sandiwara kerana persatuan itu ditekan oleh kerajaan Pas Kelantan. Saya mempunyai tauliah daripada Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) dan sehingga sekarang masih menjadi pengarah persatuan tersebut serta sentiasa dipanggil untuk menghadiri mesyuarat.

Berbalik kepada persoalan pokok, perpaduan sesama umat Islam amat penting. Biar apa pun perbezaan ideologi politik marilah kita bersatu kembali dan lupakan persengketaan, kembali kepada kepada perintah Allah SWT bahawa hendaklah kamu sentiasa memperbaiki saudara-saudara kamu. Maknanya, kalau ada perselisihan, hendaklah kamu mendamaikan antara kedua-duanya (surah Al-Hujurat ayat 10).

Sebagai umat Islam kita perlu mentaati pemerintah selagi ia tidak kufur kepada Allah. Tindakan menentang dan menyebakan keburukan kerajaan akan memberikan ruang kepada musuh-musuh Islam untuk mengambil peluang untuk mengganggu gugat urusan negara sehingga menimbulkan pelbagai ancaman.

(Utusan Malaysia 21 Mac 2010)

(Di tulis oleh Abdullah Sa'amah.)

(Beliau ialah Ulama dan Pengasas Madrasah Al-Najmiah, Pondok Geting, Tumpat, Kelantan)

Pembohongan 16 September


DALAM pertemuan dengan penulis pada 11 Mac lalu, Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim menyatakan bahawa beliau akan membuat ucapan penting di sidang Dewan Rakyat pada 15 Mac.

''Selepas itu, saya serahkan kepada rakyat untuk memikirkannya,'' itulah kata beliau tanpa menyatakan apa isi kandungan ucapan penting tersebut.

Ternyata pada tarikh berkenaan, Zahrain yang buat pertama kalinya melangkah ke Parlimen sebagai ahli Parlimen bebas selepas mengumumkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 12 Februari melakukan ucapan yang menggegarkan arena politik negara.

Zahrain mendedahkan mengenai rancangan 16 September 2008 yang otak perancangnya ialah Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jika selama ini, impian 16 September tidak begitu diketahui secara terperinci selain daripada cita-cita songsang Anwar untuk menubuhkan kerajaan melalui pintu belakang tetapi apa yang didedahkan oleh Zahrain cukup menggemparkan.

Anwar dalam mencapai cita-cita itu atau lebih tepat lagi memenuhi khayalannya untuk menjadi Perdana Menteri sanggup mempergunakan nama Yang di-Pertuan Agong dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ketika itu dipimpin oleh Tan Sri Abdul Aziz Zainal.

Tujuan Penasihat PKR itu adalah mudah iaitu hendak menyakinkan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bahawa kononnya dua pihak paling berkuasa di negara ini berada di belakangnya.

Dalam mana-mana juga negara yang mengamalkan raja berperlembagaan dan angkatan tentera menjadi tonggak kekuatan, sudah pastilah penggunaan nama itu boleh menggerunkan sesiapa sahaja.

Tetapi Anwar terlupa ahli-ahli Parlimen BN tidaklah sebodoh yang disangkakan. Atas sebab itulah perancangan 'jahat' beliau untuk menubuhkan kerajaan melalui pintu belakang gagal.

Akhirnya, impian 16 September Anwar mendedahkan siapa diri beliau sebenarnya. Beliau kini dilihat bukan sahaja pemimpin yang rakus, malah sanggup mempergunakan nama sesiapa sahaja demi mencapai cita-cita politiknya.

Tindakan Anwar mempergunakan nama Yang di-Pertuan Agong dan ATM, adalah suatu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan satu pengkhianatan. Anwar cuba menyeret dua institusi berkenaan ke dalam gelanggang pertarungan politik berikutan kekecewaan selepas pakatan pembangkang yang diketuainya gagal menumbangkan kerajaan BN.

Sebagai seorang ahli politik berpengalaman, Anwar bukannya tidak tahu bahawa dua institusi berkenaan tidak seharusnya diseret dalam kancah politik.

Tetapi Anwar tidak peduli kesan akibat pendustaan yang beliau lakukan. Apa yang penting bagi beliau ialah ke Putrajaya, walaupun tindakan itu bukan sahaja boleh mencemarkan nama baik institusi tersebut tetapi juga mengkhianati mandat yang telah diberikan kepada BN oleh rakyat.

Kita tidak harus lupa selain pembohongan yang dilakukan oleh Anwar dalam agenda 'gila' itu, Anwar juga berjaya memperdaya rakan-rakan dalam pakatan pembangkang sendiri iaitu Pas dan DAP.

Gagal

Sebab itulah apabila rancangan 16 September gagal, Pengerusi DAP, Karpal Singh yang sememangnya menentang perbuatan lompat parti mengeluarkan kenyataan yang cukup keras pada 8 Februari 2009, apabila menegaskan, Anwar tidak layak memimpin parti itu kerana mempromosi budaya lompat parti.

"Anwar Ibrahim harus bertaubat kerana perbuatannya, Pakatan Rakyat sepatutnya memohon untuk mendapatkan seorang pemimpin yang baru bukannya pemimpin yang mengamalkan budaya ini," kata Karpal.

Tetapi kemarahan Karpal hanyalah seketika apabila Anwar terus dibenarkan memimpin pakatan pembangkang, biar pun kini jelas Anwar adalah pemimpin politik yang mengamalkan pendekatan matlamat menghalalkan cara.

Walaupun kini segala tembelang dan 'topeng raksaksa pelbagai wajah' Anwar sudah didedahkan oleh Zahrain, namun pemimpin-pemimpin pembangkang masih setia ingin menyokong beliau sebagai pemimpin utama mereka.

Ia terbukti apabila Zahrain diserang hebat oleh pemimpin-pemimpin berkenaan termasuklah oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dianggap oleh Anwar ketika dalam kerajaan bahawa beliau 'ulama terompah'.

Secara tiba-tiba Nik Abdul Aziz bercakap soal tipikal ahli politik Melayu yang mendedahkan kepincangan bekas parti mereka. Tetapi Nik Abdul Aziz tidak pula mahu mengulas apa pula dosa Anwar apabila melakukan pembohongan dengan mempergunakan nama Yang di-Pertuan Agong dan ATM.

Apakah kerana pendedahan itu melibatkan Anwar maka segala pendustaan dan penipuan oleh Ketua Pembangkang tersebut boleh 'dihalalkan'? Yang manakah lebih berdosa mendedahkan kebenaran seperti mana dilakukan oleh Zahrain atau pembohongan yang dibuat oleh Anwar?

Penulis yakin tidak semua pemimpin dan ahli Pas berkongsi pandangan dengan Nik Abdul Aziz biarpun beliau seorang Mursyidul Am. Ia kerana yang benar tetap benar dan yang salah tetap salah.

''Sebenarnya, pendedahan Zahrain telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam Pas kerana tidak semua dalam parti sukakan Anwar,'' kata seorang pemimpin muda Pas ketika dihubungi.

Jika pembangkang menganggap pendedahan Zahrain disebabkan beliau sudah menjadi 'askar upahan' kepada BN, kenapa mereka tidak mendesak Anwar supaya membuat penjelasan bagi membersihkan namanya.

Tindakan meninggalkan sidang Dewan Rakyat dan menganggap 'itulah bahana apabila sudah menjadi alat UMNO'', bukanlah tindakan yang bijak kerana ia hanya mendedahkan Anwar kepada tuduhan bahawa beliau hakikatnya tidak sanggup menerima kebenaran yang dipaparkan oleh Zahrain dan seorang yang pengecut untuk mempertahankan diri.

Jika beliau di pihak yang benar sudah pasti Anwar tidak akan ke London untuk bertemu kawan baiknya yang juga bekas Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Al Gore.

Ini kerana tuduhan Zahrain adalah serius dan memerlukan jawapan balas daripada beliau tetapi Anwar tahu segala yang Zahrain dedahkan adalah satu kebenaran. Sebuah kebenaran tidak boleh ditutup bak kata lagu Jay Jay dalam lagu Rindu Bayangan; ''berputar-putar membelitkan kata-kata'' - yang sebelum ini menjadi 'alat' untuk Anwar meraih sokongan sebahagian rakyat.

Penipuan

Justeru adalah jelas, Anwar tidak berdaya menutupi tembelangnya sehingga terpaksa meninggalkan sidang Dewan Rakyat supaya 'telinganya tidak terus panas' mendengar satu demi satu penipuan yang beliau lakukan.

"Sebagai seorang yang mendabik dada kononnya beliau bakal menjadi Perdana Menteri, pendirian Anwar untuk tidak membalas pendedahan ahli Parlimen Bayan Baru dengan keluar daripada Dewan Rakyat jelas membuktikan beliau tiada integriti dan kredibiliti, sedangkan pada masa itu kewibawaannya sebagai ketua pembangkang diserang.

"Adalah sesuatu yang pelik juga apabila seorang pemidato yang hebat seperti Anwar tidak mampu membalas 'serangan' yang ditujukan kepada beliau, sebaliknya mengambil keputusan 'menenangkan' diri di Eropah," kata penganalisis politik, Prof. Dr. Mohamed Mustafa Ishak.

Apabila politik matlamat menghalalkan cara yang dirancang oleh Anwar terdedah melalui impian 16 September, ramai yang tertanya-tanya, apakah Pas yang memperjuangkan Islam akan terus bersekongkol dengan pemimpin seumpama itu?

Selama ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sering menegaskan bahawa Pas ingin berkuasa melalui proses demokrasi iaitu melalui pilihan raya. Tetapi apa yang dilakukan oleh Anwar bertentangan sama sekali dengan semangat Pas yang menurut Abdul Hadi adalah parti Islam yang memperjuangkan dasar-dasar Islam serta nilai-nilai keadilan sejagat.

Mungkin ada yang akan berhujah bagaimana pula dengan kejayaan BN menguasai semula Perak apabila tiga wakil rakyat pembangkang mengisytihar menjadi wakil rakyat bebas.

Antara kes di Perak dan impian 16 September ia adalah berbeza. Ini kerana BN Perak tidak pernah mempergunakan nama sesiapa untuk menarik sokongan tiga wakil rakyat berkenaan, mereka keluar daripada PKR dan DAP dengan sukarela.

Ini berbeza dengan Anwar yang terlalu inginkan kerusi Perdana Menteri sehingga sanggup berbohong dan menghantar ahli Parlimen pembangkang ke Taiwan bagi memujuk ahli Parlimen BN. Tidakkah tindakan Anwar itu mengkhianati semangat demokrasi yang Abdul Hadi dan Pas uar-uarkan?

Oleh itu sebagai parti yang berhasrat menegakkan perjuangan Islam, pemimpin-pemimpin Pas sudah tentu memahami bahawa Anwar sememangnya tidak layak menjadi pemimpin mereka.

Mana mungkin sebuah parti seperti Pas terlalu mengagung-agungkan pemimpin yang mengamalkan politik seperti Anwar yang sekali gus akan mencemarkan perjuangan Islam yang dibawa oleh Pas.

Kini terserahlah kepada parti-parti pembangkang untuk menilai siapa ketua yang mereka kagumi itu dan kepada sebahagian rakyat yang masih taksub melihat Anwar sebagai 'pemimpin yang bersih dan murni'.

Apa pun kesimpulannya, pendedahan oleh Zahrain telah membuka wajah sebenar insan bernama Anwar Ibrahim dan membuktikan impian 16 September dilumuri dengan perancangan yang penuh dengan pembohongan, penipuan, pendustaan dan pengkhianatan, namun akhirnya kebenaran pasti memusnahkan kebatilan.

(Utusan Malaysia)

Putar alam

Pendedahan Ahli Parlimen Bayan Baru, Zahrain Mohamed Hashim mengenai pembohongan pemimpin utama PKR, Anwar Ibrahim berkaitan rampasan kuasa pada 16 September 2008, menjadi bualan hangat.

Manakan tidak, dalam pendedahannya itu, Anwar mendakwa Yang di-Pertuan Agong memperkenankan beliau sebagai Perdana Menteri jika rancangan 16 September menjadi kenyataan.

Anwar turut mengaitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyokong beliau ketika itu. Bekas Panglima ATM, Abdul Aziz Zainal menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai taktik kotor Anwar.

Berbohong apatah lagi menjaja nama Yang di-Pertuan Agong dan ATM adalah sesuatu yang amat serius. Kerana mengejar tampuk kuasa, Anwar sanggup berbuat apa sahaja. Ia tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang yang bergelar pemimpin. Kalau di negara Barat, pemimpin yang berbohong ditolak mudah oleh rakyat. Pemimpin mesti berintegriti.

Tetapi Awang tidak terkejut dengan pendedahan itu. Cerita-cerita sebegitu, telah lama Awang dengar daripada rakan-rakan seperjuangan Anwar dalam PKR yang bertindak meninggalkan beliau.

Menurut mereka, Anwar seorang putar alam atau bermaksud suka berbohong. Salah seorang daripada puluhan bekas pemimpin PKR yang tahu sangat perihal Anwar ialah S. Nalakaruppan. Beliau tahu hal luar dan dalam tentang Anwar. Bertanyalah juga kepada Ezam Mohd. Noor, Anuar Shaari dan ramai lagi tentang pembohongan serta pembawaan bahaya Anwar.

Banyak persoalan berlegar tentang beliau, kata mereka. Ada tertanya-tanya tentang kekayaan Anwar selain musykil pihak manakah yang membiayai aktiviti parti. Ada pula yang musykil pendirian Anwar berkaitan gejala seks sejenis.

Orang yang putar alam, sangat licik dan tidak mudah mengalah. Agama dan bangsa juga sanggup dipertaruhkan. Jika melakukan kesalahan besar termasuk dari segi moral, dia akan memperlihatkan seolah-olah dia adalah mangsa. Kajilah sejarah para pemimpin dan personaliti yang putar alam. Mereka mungkin 'berjaya' buat seketika tetapi semuanya berakhir dengan penghinaan yang amat dahsyat pada kaca mata masyarakat.

Dalam pendedahan Zahrain, nampaknya penjelasan dan jawapan Anwar mengenai hal itu tidak menyakinkan. Malah Zahrain mencabar wakil rakyat PKR bersumpah menafikan ketua pembangkang itu banyak berbohong ketika menggerakkan misi 16 September.

Awang tidak fikir mereka akan bersumpah kerana takut ditimpa bala kerana apa yang dikatakan oleh Zahrain memang benar. (Beberapa wakil rakyat BN yang cuba dipancing oleh Anwar turut mengesahkan perkara itu termasuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi dan Lajim Ukin.) Untuk mengharapkan Anwar bersumpah, beliau pasti tidak berani. Sama keadaannya keengganan beliau bersumpah laknat atau muhabalah sebagaimana dilakukan oleh Saiful Azlan Bukhari yang mendakwa diliwat oleh Anwar.

Terbaru, beliau berada di London dengan terus memfitnah UMNO bersikap rasis dan menjadi punca kepada ketegangan agama serta kaum. Khabarnya, Anwar akan menemui beberapa pihak dan pemimpin termasuk bekas Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Al Gore bagi mendapat simpati dan campur tangan bagi kes mahkamahnya. (Sejak dipecat daripada kerajaan lebih 10 tahun lalu, beliau sentiasa menagih sokongan luar kononnya atas nama demokrasi dan kebebasan).

Kini, Anwar sedar bukti pasukan pendakwaan kuat. Peluang untuk beliau menang di mahkamah agak sukar. Apatah lagi sokongan rakyat terhadapnya berkaitan kes tersebut, merudum teruk. Rakyat tidak mahu lagi terheret dengan isu moralnya. Ternyata Anwar makin terdesak. Kegiatan lobi beliau di luar negara diperhebatkan termasuk menerusi rakannya seperti Raja Petra Raja Kamaruddin yang kini bersembunyi di United Kingdom. Anwar turut mendapat khidmat nasihat strategis dari Amerika Syarikat (AS) berketurunan Pakistan, Aasil Kazi Ahmad. Aasil juga telah meninggalkan Malaysia, baru-baru ini apabila kegiatan beliau diketahui.

Awang sedih, tidak pernah berlaku dalam sejarah moden negara, ada pemimpin yang ghairah mendapatkan campur tangan luar bagi tujuan survival politik. Maka Awang boleh faham mengapa ramai yang melihat Anwar sebagai pengkhianat. Cabarannya apa lagi yang kita tidak tahu, yang perlakuan pengkhianatan itu mungkin lebih besar.

Orang seperti Anwar tidak kisah jika negaranya hancur sekalipun, asalkan matlamatnya tercapai. Menyelamatkan diri daripada kes salah laku seksnya adalah misi utama. Sebab itu, beliau tiada keberanian untuk bersumpah demi kebenaran.

Siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama mencuri. Anwar telahpun mencuri harga diri rakyat serta kedaulatan negara.

Persoalannya mahukah kita merelakan seorang putar alam dan menghadapi krisis moral terus diangkat menjadi pemimpin? Nauzubillah.

(Utusan Malaysia)

Perkasa, Ibrahim dan kedudukan Melayu


Majlis perasmian mesyuarat agung pertama Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang dijadualkan pada 27 Mac ini, tiba-tiba menjadi isu.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Shah yang pada mulanya bersetuju untuk merasmikan mesyuarat tersebut, telah membatalkan hasrat baginda. Menurut kenyataan Istana Selangor, pembatalan tersebut bagi mengelak kontroversi dan manipulasi pihak tertentu.

Perkembangan tersebut membuatkan Perkasa terutama Presidennya, Ibrahim Ali tersentak. Lebih menimbulkan rasa tidak senang Perkasa ialah laporan akhbar The Sun yang mendakwa Sultan Selangor telah menasihati Perkasa agar mengurangkan sikap ultra-Melayu.

Dalam reaksinya, Ibrahim menafikan Sultan Selangor ada menyebut hal itu dalam pertemuan dengan baginda.

Awang bersimpati dengan apa yang menimpa Perkasa. Kelantangannya memperjuangkan kepentingan Islam dan Melayu di bawah kerangka perlembagaan negara, mendapat tentangan daripada banyak pihak khususnya bukan Melayu.

Pihak-pihak berkenaan dengan disokong secara halus oleh gerakan pembangkang memainkan sentimen kononnya Perkasa ultra-Melayu, rasis, cauvinis dan pelbagai label lagi. Malah dalam blog pemimpin DAP dan portal berita Malaysiakini, ada tulisan yang menyifatkan Perkasa sebagai kelahiran semula syaitan. Strategi mereka adalah untuk melemahkan Perkasa, yang kini mendapat sokongan meluas masyarakat Melayu. Sememangnya ada golongan yang tidak mahu NGO Melayu yang menjadi sekuat Perkasa. Pada mereka, tidak mengapa jika NGO bukan Melayu hebat tetapi NGO Melayu mesti lemah. Jika NGO bukan Melayu menjadi begitu berpengaruh dan rasis, itu adalah hal biasa yang menjadi tuntutan. Anehnya Perkasa yang baru setahun jagung usianya sudah dilihat sebagai ancaman.

Awang ingin bertanya kepada semua, siapakah paling lantang dan ke hadapan mempertahankan kedaulatan institusi raja Melayu ketika dihina, jika bukan Perkasa. Di mana suara NGO bukan Melayu dan tauke-tauke kaya raya ketika Raja-Raja Melayu dicabar?

Ketika ramai tunduk tidak yakin, siapakah yang tanpa gentar dan secara konsisten mempertahankan kepentingan Melayu sewaktu diasak pelbagai pihak selepas Pilihan Raya Umum ke-12, jika bukan Perkasa.

Siapakah yang menjunjung martabat Islam daripada penghinaan banyak penjuru jika bukan Perkasa, beberapa NGO Islam serta Melayu yang lain.

Siapakah yang menjadi perisai mempertahankan perlembagaan daripada dicabar dan ditulis semula, kalau bukan NGO seperti Perkasa. Ternyata Perkasa di bawah kepimpinan Ibrahim mencetuskan keyakinan baru di kalangan orang Melayu.

Janganlah lupa jasa Perkasa. Usahlah terjebak dengan muslihat pihak yang mahu menggugat pertubuhan itu atas motif yang sebenarnya mudah difahami.

Sesungguhnya Awang amat bersyukur dan berterima kasih kerana Perkasa dan beberapa NGO Melayu lain telah membantu menyelamatkan tunjang politik Melayu di negara ini daripada runtuh hasil satu konspirasi besar kesan pilihan raya umum lalu, yang hampir mencapai kemuncaknya.

Itu yang menjadikan Perkasa amat istimewa. Maka majlis pada 27 Mac ini akan tetap bermakna buat orang Melayu. Lebih-lebih lagi kehadiran negarawan, Dr. Mahathir Mohamad yang akan merasmikannya menggantikan Sultan Selangor. Lebih 10,000 dijangka menghadiri majlis tersebut yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra dalam acara yang penuh istiadat Melayu.

Sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan Perkasa, Awang yang sekadar insan kerdil, membatalkan acara lain yang telah Awang beri komitmen lebih awal, semata-mata untuk hadir pada majlis Perkasa nanti biar sekalipun berdiri di luar dewan. Kalau Mahathir sanggup pulang awal dari misi lawatan ke luar negara hanya untuk bersama-sama Perkasa, mengapa tidak kita.

Usahlah menjadi Melayu di tanah air ini, jika kita terlalu takut dan mengikut telunjuk pihak yang sedangpun menghakis kedudukan Melayu.

Awang bukan jenis itu.

(Utusan Malaysia)

Apabila Belanda minta tanah, kaduk naik junjung...

PADA 13 Mac 2010, saya menerima e-meldaripada seorang saudara yang amat prihatin dengan nasib Melayu di bumi Melayu yang selalu dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu terutama parti ultra kiasu dan rakan sekutunya yang boleh diibaratkan seperti Belanda minta tanah dan kaduk naik junjung.

Saya terpaksa mengubah tajuk artikel yang sepatutnya kerana saya fikirkan emailnya amat penting, apatah lagi isu ini telah disensasikan oleh laman-laman web mereka.

Isunya berkaitan dengan penduduk Kampung Sungai Terentang, Rawang yang membantah kerja-kerja pemasangan kabel voltan tinggi oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang boleh dijadikan iktibar kepada masyarakat bukan Melayu untuk memahami sentimen kebanyakan masyarakat Melayu. Janganlah tuduh saya lebih Melayu dari Melayu selepas ini kerana saya tidak pernah mengakuinya walaupun ia diikhtiraf oleh Perlembagaan.

Sepanjang pengetahuan saya, tanah yang diduduki oleh penduduk kampung berkenaan bukannya tanah mereka pun. Tanah itu milik TNB dan mereka hanyalah setinggan di situ. Tetapi apabila ada ura-ura hendak merobohkan kediaman mereka dan memindahkan mereka yang terlibat, semuanya menjadi kecoh dan ramai yang menentang.

Pemimpin-pemimpin ultra kiasu mula masuk kampung kerana mereka mahu menjadi jaguh kampung untuk mendapatkan publisiti murahan. Bayangkanlah jika tanah tersebut diduduki oleh orang Melayu, sudah tentu TNB akan meneruskan kerja-kerjanya. Orang Melayu akan memberikan laluan atas dasar pembangunan walaupun pampasannya tidak seberapa. Apakah mungkin ultra kiasu ini akan membela mereka dengan bersungguh-sungguh?

Setinggan tetap setinggan. Dari segi undang-undang, mereka tidak ada hak pun untuk mempertahankan tanah tersebut. Saya tidak nampak semua rumah akan dirobohkan, mungkin sebahagian. Namun, mereka telah membawa kes berkenaan ke Mahkamah Persekutuan pada November lalu.

Mahkamah memutuskan bahawa TNB mempunyai hak untuk meneruskan projek itu sebab itu adalah tanah TNB, muktamad. Mahkamah juga memerintahkan TNB supaya membayar pampasan berjumlah RM10.4 juta kepada penduduk terlibat yang telah mereka melaksanakan. Tidakkah jumlah wang tersebut begitu besar?

Tetapi inilah sifat ultra kiasu yang telah menyelubungi mereka yang setelah dihasut oleh parti ultra kiasu. Jika di Pulau Pinang, senang sahaja tanah Melayu diambil dan gerai mereka diroboh, tetapi bila kena batang hidung sendiri? Alahai, itulah nasib Melayu di bumi Melayu. Lebih menyedihkan orang Melayu tidak banyak tampil membela Melayu itu sendiri. Menitis air mata memikirkan bila bukan Melayu seperti saya terpaksa membela Melayu hanya dek kerana Melayu beragama Islam, walaupun terpaksa dihina dan dikeji oleh bangsa sendiri termasuk saudara mara saya. Tetapi apakan daya, semangat Islam mengatasi segala-gala.

Keistimewaan

Sepatutnya mereka mesti faham mengapa masyarakat bumiputera diberikan keistimewaan di sebuah negara yang diwarisi daripada nenek moyang mereka selama beratus bahkan beribu tahun. Jika mereka yang baru tinggal di situ secara haram tidak sampai seratus tahun bermati-matian berpendapat mereka berhak atas tanah tersebut disebabkan apa yang mereka telah usahakan, apakah salahnya bagi kaum bumiputera diberikan keistimewaan dari segi polisi pentadbiran kerana mereka juga telah berusaha selama ratusan (bahkan mungkin ribuan) tahun untuk memakmurkan wilayah mereka sendiri?

Di samping itu saya juga ingin berkongsi pengalaman seseorang yang pernah bekerja di bahagian kewangan sebuah kementerian yang diterajui oleh menteri bukan Melayu.

Menurutnya, jika dalam kampung tersebut adalah terdiri daripada bukan Melayu yang sebangsa dengan menteri tersebut, maka jumlah gantirugi yang diberikan kepada penduduk tersebut adalah berlipat kali ganda. Manakala, jika kawasan tersebut dihuni oleh orang Melayu atau bumiputera, maka peruntukan atau ganti rugi tersebut dibuat lebih kurang sahaja. Orang Melayu tidak banyak cakap dan menerima sahaja kerana pada mereka wang selonggok di depan mata sudah mencukupi. Mereka tidak sedar bahawa sejumlah wang tersebut hanya boleh menyaranya untuk jangka masa yang singkat, berbanding orang lain yang mungkin mendapatkan perlindungan atau pampasan jangka panjang.

Hari ini, mungkin pada luarannya dasar kerajaan nampak melebihkan bumiputera, tapi secara aplikasinya tidaklah begitu. Malah apa yang diperjuangkan oleh sebahagian masyarakat bukan Melayu selama ini mungkin telah pun mereka dapat secara senyap-senyap. Cuma tidak diberikan publisiti secara besar-besaran sebagaimana cara kita membantu orang Melayu. Publisitinya begitu meluas. Inilah sifat kita, selalunya suka dipuji sehingga pujian tersebut mengalpakan kita, ibarat menang sorak kampung tergadai.

Saya memetik kata-kata e-mel tersebut yang amat menyentuh hati saya: "Apa pun saya bukanlah sayang sangat bangsa saya, bahkan saudara-saudara baru (mualaf) lebih saya sayang daripada kebanyakan Melayu muslim. Terus terang saya katakan jika ada seorang Cina/India /Siam/Iban/Kadazan dan lain-lain yang baru memeluk Islam tidak sampai sebulan, tapi lebih alim, bertaqwa, cekap dan berkaliber dalam memerintah negara, saya lebih rela negara ini diperintah olehnya. Ini kerana, seorang mukmin yang bertaqwa pasti akan berusaha memerintah dengan penuh keadilan tidak kira apa pun bangsanya. Yang Melayu Muslim memerintah sekarang ini ramai yang lebih banyak memalit arang kepada imej Islam (termasuklah daripada PAS sendiri). Cuma saya menulis di sini kerana ada pihak yang sudah jadi macam Belanda minta tanah, diberi betis nakkan peha".

Saya tidak dapat meneruskan kata-kata beliau kerana agak sensitif. Apa pun saya ucapkan terima kasih di atas keprihatinan dan sensitiviti penghantar email tersebut terhadap permasalahan ummah dalam pembinaan negara bangsa. Bandingkanlah tolak ansur, berapa banyak tanah-tanah Melayu termasuk tanah rezab yang telah tergadai kerana memberikan laluan kepada pembangunan? Hatta, masjid surau pun sanggup dirobohkan? Bayangkan jika satu kuil atau rumah ibadat mereka dirobohkan, apakah reaksinya? Kenapa penduduk di kawasan tersebut begitu bimbang rumah mereka akan dirobohkan bagi pembinaan menara untuk kepentingan masa depan dan anak cucu mereka? Isunya hanya berkaitan pemasangan kabel elektrik dan pampasan telah pun disediakan? Takkan mereka mengharapkan TNB menyedia rumah banglo untuk mereka di kawasan bukan milik mereka?

Bantahan mereka masih belum berakhir. Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Peter Chin memberi jaminan bahawa tidak ada kerja-kerja merobohkan akan diadakan sehingga mesyuarat antara TNB dan wakil penduduk diadakan Jumaat lalu. Saya tidak tahu apakah keputusan kerana artikel ini terpaksa dihantar lebih awal.

Namun, saya boleh menjangkakan bahawa mesyuarat tersebut tidak akan dapat menyelesaikan masalah, apatah lagi kawasan tersebut berada di negeri yang perintah oleh ultra kiasu. Awal-awal lagi mereka telah bersekongkol walaupun ia bercanggah dengan undang-undang. Ini yang selalu saya katakan, bila nasib sebegini menimpa umat Islam, tidak banyak timbul masalah. Tetapi bila kena pada bukan Islam, satu Malaysia seolah-olah tidak ada berita lain. Tindakan sebegini ternyata amat bercanggah dengan konsep 1Malaysia yakni memberikan hak kepada yang berhak mengikut lunas undang-undang bukannya menuntut apa yang telah dapat dan menambah sampai membukit.

Seultra kiasu

Melayu yang saya kenal tidaklah seultra kiasu seperti sekumpulan mereka yang berada di negeri ultra kiasu ini. Mereka rela hasil bumi dikaut oleh orang lain selagi budaya dan agama Islam terpelihara. Mereka jarang cemburu atau dengki kepada orang lain, walaupun sifat ini berlaku di kalangan sesama mereka. Bapa saya boleh membina kekayaan di kawasan majoriti orang Melayu, tanpa diganggu-gugat. Bapa saya berjaya membeli beberapa keping tanah di kampung-kampung Melayu.

Satu kelemahan orang Melayu mudah cair

melihat wang di depan mata dan pada masa sama mereka suka berhutang. Berhutang pula jarang mahu bayar, tetapi mereka tidak sedar keuntungan telah pun diperolehi daripada hutang pokok yang tidak dibayar. Bila hutang tidak dapat dibayar, maka hutang tersebut akan ditebus dengan menjualkan barang kepunyaan mereka seperti barang kemas, tanah, hasil subsidi kerajaan seperti biji benih, baja dan sebagainya. Semasa saya kecil dahulu, saya melihat begitu banyak hasil subsidi kerajaan telah dijual kepada bapa saya bagi mereka yang tidak mampu membayar hutang.

Kalau dulu hutang dipotong dengan menjual subsidi kerajaan, hari ini along telah mengambil alih tugas tersebut. Hutang mesti dibayar bersama faedah yang tinggi. Hutang bersama faedah akan terus bertambah dari masa ke semasa jika tidak dibayar. Inilah sifat yang menyamai sifat Yahudi. Kebanyakan harta umat Islam tergadai kepada along kerana harta mereka telah tergadai.

Saya ingin ingatkan rakan sebangsa saya, orang Melayu yang saya kenali suka memendam rasa. Hari ini mereka asyik mengalah. Kita pula seronok melihat orang lain kalah atau dikenakan tindakan.

Kita sentiasa mahu menang, tanpa menyedari kemenangan itu meninggalkan implikasi besar ke atas orang lain. Kita jarang mengkaji parut yang tinggal akibat kekalahan yang diterima. Parut inilah yang bahaya kerana parut ini akan meninggal kenangan yang sukar untuk dilupakan.

Dari sudut psikologi, parut itu akan dikenang hingga ke akhir hayat. Inilah yang disebut luka di tangan nampak berdarah, luka di hati siapa yang tahu. Parut ini biasanya akan menyebabkan seseorang itu memendam rasa. Sesuatu yang dipendam tidak selama-lamanya terpendam. Satu hari ia akan meletup. Letupan itulah yang paling saya takuti.

Saya bangkitkan isu ini kerana saya sayangkan bangsa saya yang tidak ultra kiasu. Saya bimbang mereka turut menjadi mangsa disebabkan oleh tindakan segelintir ultra kiasu. Mungkin sekarang kita tidak dapat kesannya. Tetapi ia tidak mustahil akan berlaku. Cuma masa akan menentukan. Saya cukup bersetuju dengan kata-kata bahawa negara kita nampak sahaja stabil tetapi sebenarnya tension.

(Utusan Malaysia 21 Mac 2010)

(Ditulis oleh Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah)

(Beliau ialah Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia)

Wikipedia bukan sumber rujukan sahih....

MEREKA yang terus tidak mahu ambil tahu dan selamba sahaja memetik Wikipedia sebagai bahan rujukan dalam artikel atau tesis, akan mendapati tulisan mereka turun markah atau dalam konteks penulis, artikel mereka akan susut nilai wibawa.

Namun, ramai juga yang 'memilih untuk mengikut arus' dan menolak hakikat sinikal yang dikaitkan dengan Wikipedia ini. Bagi golongan ini, perkembangan Wikipedia adalah menyerupai ledakan Internet yang turut menyaksikan generasi sekarang intim dengan Facebook atau Twitter. Jika mengenepikan Wikipedia, maka wujud kekurangan, kata mereka. Ini betul.

Maka tidaklah mengejutkan sangat bila ada teman dalam bidang perhubungan awam menyatakan bahawa antara skop tugas mereka sekarang ialah mengemaskini fakta-fakta mengenai syarikat dan ketua pegawai eksekutifnya yang dimuatkan dalam Wikipedia. Maknanya, mereka sendiri mencipta halaman mengenai mereka sendiri di situ.

Atas faktor komersial, tidak mengapa. Malah sangat bagus. Anda mungkin perasan bila mencari sesuatu dalam enjin carian, antara paparan teratas yang muncul ialah dari laman wikipedia.com

Malah disebabkan ada tugasan khusus bagi memantau dan mengemaskini maklumat, ia secara tidak langsung menjadi laman web percuma kepada entiti terbabit dan ramai pula yang mengaksesnya.

Beza Facebook dan Twitter ialah ia berkaitan rangkaian sosial. Wikipedia pula secara langsung berkenaan isu-isu ilmiah, fakta- fakta dan bukan gosip. Oleh kerana sifatnya, sesiapa sahaja boleh menulis dan mengolah kenyataan di dalamnya, menjadikan Wikipedia sangat berguna, jika dibuat cara betul dan sangat berbahaya, jika sebaliknya.

Bahayanya ialah seseorang boleh mencipta halaman berkenaan anda, menggunakan nama sebenar anda dan gambar (mungkin diambil dari Facebook?) dan menulis bahawa anda pernah ''menjalani rawatan sakit jiwa dan didakwa atas tuduhan mencuri''. Ini semua boleh berlaku kerana tiada siapa atau diri anda sendiri tahu pun ia disiarkan atau mengesahkan fakta seumpamanya. Ia mungkin boleh dipadamkan kemudian, tetapi kerosakan sudah berlaku.

Risiko ini mendorong sebuah universiti di Vermont, Amerika Syarikat iaitu Middlebury College pada 2007 mengeluarkan larangan kepada pelajarnya daripada menjadikan Wikipedia sebagai sumber rujukan bagi tugasan akademik mereka. Dekan Jabatan Sejarahnya, Don Wyatt berkata, ''Sebagai pendidik kami dalam bidang mengurangkan pengedaran maklumat salah. Walaupun Wikipedia mungkin mempunyai nilai-nilai tertentu, terutama membantu pelajar mencari sumber-sumber sahih, ia secara sendirinya bukan sumber yang wajar untuk dipetik,'' katanya.

Keputusan itu diambil oleh jabatan tersebut setelah para profesor mengesan pelajar-pelajar memetik maklumat salah dari Wikipedia dalam tugasan akademik dan jawapan ujian mereka.

Menurutnya lagi, larangan pihaknya terhadap Wikipedia bukan kepada sifat dalam taliannya tetapi sifatnya sebagai pernyataan yang tidak diedit dan disemak dengan wibawa. Para pelajar katanya, harus dididik supaya mencari maklumat berkualiti, bukan hendak cari jalan mudah semata-mata dengan membuka Wikipedia.

Memahami

Bila direnungi kenyataan di atas, anda tentunya bersetuju bahawa kaedah mencari bahan untuk tesis atau tugasan akademik menjadi lebih afdal dan jitu bila pelajar menjejak kaki ke perpustakaan dan benar-benar membaca sebuah buku bagi memahami sesuatu teori. Sekarang, komputer memudahkan semuanya. Hinggalah kepada petikan-petikan ayat sarjana. Masalahnya, pelajar akan hanya ingat sebaris dua ayat berkenaan tanpa mendalami huraian yang lazimnya terdapat dalam sesebuah buku atau jurnal.

Wikipedia sebenarnya lahir ekoran kegagalan Nupedia yang dicipta usahawan Internet, Jimmy Wales dan ahli falsafah, Lawrence Sanger pada 2000 untuk mewujudkan ensaiklopedia dalam talian secara percuma.

Nupedia dibangunkan sebagai ensaiklopedia yang ditulis oleh pakar dan boleh dikaji sesama pakar dalam bidang-bidang tertentu. Namun, ia menghadapi masalah besar. Ia berkaitan 'kepantasan'. Dalam tempoh enam bulan pertamanya, hanya dua artikel berjaya melepasi proses penilaian.

Melihatkan isu ini, Sanger menyarankan supaya diwujudkan sebuah lagi platform menyerupai Nupedia di mana sesiapa sahaja boleh menyumbang tanpa perlu semakan editorial. Maka, Wikipedia.com lahir pada 15 Januari 2001 dan model ini segera menenggelamkan Nupedia. Pada penghujung tahun pertamanya, Wikipedia mempunyai lebih 20,000 kandungan dalam 18 bahasa. Sejak itu, laman web tersebut mencatat pertumbuhan pesat iaitu 250,000 pada 2004 dan sejuta kemudiannya pada 2006.

(Utusan Malaysia 21 Mac 2010)

Saturday, February 13, 2010

s'pore s'pore...

they call it PRD but dunno wat was PRD stand for.. :p

huhu...

esplanade

s'pore flyer


fullerton hotel

Pasir Ris Port